Hari Ini Kita Bersaudara - KL Gangster & Pekida Isytihar Berdamai.
18 Jun 2011 9:10AMKUALA LUMPUR - Datuk Yusof Haslam malam tadi telah menganjurkan satu Sidang Akhbar Musyawarah bersama PEKIDA di Restoren Haslam bagi mengumumkan pendamaian setelah bertarung dengan kontroversi berkenaan Filem KL Gangster arahan anak beliau.
Beliau yang mewakili kesemua warga Skop Production juga percaya ianya adalah salah faham yang berlaku di antara kedua-dua belah pihak.
"Barangkali ada baiknya kerana konflik ini dapat merapatkan sillaturrahim antara kita sesama Islam, daripada tidak kenal maka kita kenal. Di sebalik yang berlaku ada kemanisannya di sebalik kepahitannya."
Yusof Haslam turut membuat pengakuan sentiasa memantau filem yang dibuat hasil karya Shamsul malah beliau sendiri bertindak sebagai penapis filem anaknya itu. Ini kerana beliau menganggap pembikinan sesebuah filem itu adalah berpaksikan kepada elemen-elemen masyarakat, kepolisan, undang-undang.
"Jesteru saya dengan rasa rendah hati, saya menghulurkan tangan kepada PEKIDA dan sahabat-sahabat saya di sini tanda persahabatan saya dan saya dengan ini secara terbuka dengan nama Tuhan, demi Allah, saya tidak pernah ada niat walau sebesar kuman sekalipun untuk mempersendakan PEKIDA"
Bagi pandangan Yusof Haslam, filem KL Gangster merupakan rekaan dan tidak ada kena mengena dengan PEKIDA. Namun, berkemungkinan ada beberapa ahli PEKIDA yang menganggap ianya ditujukan kepada Badan NGO tersebut.
Beliau turut tidak menafikan pernah menghadapi situasi yang sama dengan mengambil contoh lawak yang ditonjolkan dari Kumpulan Maharaja Lawak, iaitu Jozan. Kumpulan ini seringkali mengajuk percakapan beliau dan kadangkala ianya dilihat melampau. Akan tetapi ini merupakan sekadar gurauan yang beliau pasti tiada elemen merendah-rendahkan beliau.
Yusof Haslam dan Shamsul mengakui tidak tahu akan gelaran-gelaran tersebut menjadi satu elemen yang diterapkan di dalam PEKIDA. Namun, beliau dan anaknya telah bersepakat tidak akan menggunakan gelaran-gelaran sensitif itu di dalam filem akan datang iaitu KL Gangster 2.
Di akhir bicara, Datuk Yusof Haslam telah membuat kenyataan yang dibalas dengan tepukan gemuruh orang ramai yang hadir termasuklah dari kalangan ahli-ahli PEKIDA.
"Saya hulur tangan, kalau ada apa-apa benda yang tersinggung, kami menyusun jari 10 memohon maaf. Bagi saya, Ular kalau menyusur akar tidak hilang bisanya. Jadikan hari ini hari kita bersaudara."
Turut hadir dalam Majlis tersebut beberapa pelakon yang terlibat di dalam filem-filem arahan Skop Production seperti Korie, Adi Putra, Syira, A.Galak dan ramai lagi.



0 comments:
Post a Comment